Rabu, 8 September 2010

Apa Itu Fatwa?

Dari Segi Bahasa
Keputusan/ penjelasan/ jawapan terhadap sesuatu perkara yang dimusykilkan.



Dari Segi Istilah
Memberikan penjelasan Hukum Syarak bagi sesuatu masalah sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara individu mahupun secara berjemaah.



PIHAK YANG MENGELUARKAN FATWA


Bagi menyelaraskan pengeluaran fatwa di negara ini maka pihak yang dipertanggungjawabkan mengeluarkan fatwa ialah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Fatwa-fatwa yang akan dikeluarkan adalah menyentuh kepada perkara-perkara:


Masalah-masalah keagamaan yang bukan bersifat tempatan tetapi berkaitan dengan hal ehwal umat Islam Malaysia secara keseluruhannya;
Masalah-masalah keagamaan di sesuatu negeri yang mungkin berlaku di negeri lain;

Masalah-masalah keagamaan yang bersifat tempatan dan daerah yang dikemukakan oleh mana-mana Ahli Jawatankuasa Negeri.


STATUS FATWA KEBANGSAAN

Sesuatu fatwa yang dikeluarkan di peringkat kebangsaan merupakan keputusan bersama sesama Mufti dari setiap negeri. Perbincangan tersebut akan diadakan pada peringkat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Keputusan yang dibuat sebenarnya tidak mengikat kerajaan-kerajaan negeri, tetapi sebaliknya ia hanya boleh dikuatkuasakan di peringkat negeri jika negeri berkenaan mengambil tindakan atau menerima pakai fatwa tersebut menerusi keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri masing-masing. Oleh itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hanya merupakan majlis diskusi bagi menentukan sesuatu keputusan itu melibatkan kepentingan seluruh persekutuan.



PERUNTUKAN MENGENAI FATWA DALAM UNDANG-UNDANG

Di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], peruntukan mengenai fatwa dijelaskan di bawah Seksyen 34 iaitu:

Maksud Fatwa iaitu pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubung dengan Hukum Syarak;

Mengenai bila sesuatu fatwa itu boleh dibuat, iaitu apabila diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, atau atas permintaan orang ramai melalui surat yang dihantar kepada Mufti, atau dibuat atas kehendak Mufti itu sendiri;

Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh Mufti hanya boleh diambil sebagai fatwa jika pernyataan itu disiarkan dalam warta berhubung dengan Hukum Syarak;

Sesuatu fatwa yang telah disiarkan dalam warta hendaklah dipatuhi oleh semua umat Islam yang berada di negeri itu, kecuali amalan peribadi yang dibenarkan mengikut Hukum Syarak; dan


Fatwa yang diwartakan merupakan sebahagian daripada undang-undang yang perlu diikuti oleh semua Mahkamah Syariah bagi negeri itu.

Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak - JAKIM

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:


Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.


Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.


Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.