Rabu, 8 September 2010

Apa Itu Fatwa?

Dari Segi Bahasa
Keputusan/ penjelasan/ jawapan terhadap sesuatu perkara yang dimusykilkan.



Dari Segi Istilah
Memberikan penjelasan Hukum Syarak bagi sesuatu masalah sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara individu mahupun secara berjemaah.



PIHAK YANG MENGELUARKAN FATWA


Bagi menyelaraskan pengeluaran fatwa di negara ini maka pihak yang dipertanggungjawabkan mengeluarkan fatwa ialah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Fatwa-fatwa yang akan dikeluarkan adalah menyentuh kepada perkara-perkara:


Masalah-masalah keagamaan yang bukan bersifat tempatan tetapi berkaitan dengan hal ehwal umat Islam Malaysia secara keseluruhannya;
Masalah-masalah keagamaan di sesuatu negeri yang mungkin berlaku di negeri lain;

Masalah-masalah keagamaan yang bersifat tempatan dan daerah yang dikemukakan oleh mana-mana Ahli Jawatankuasa Negeri.


STATUS FATWA KEBANGSAAN

Sesuatu fatwa yang dikeluarkan di peringkat kebangsaan merupakan keputusan bersama sesama Mufti dari setiap negeri. Perbincangan tersebut akan diadakan pada peringkat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Keputusan yang dibuat sebenarnya tidak mengikat kerajaan-kerajaan negeri, tetapi sebaliknya ia hanya boleh dikuatkuasakan di peringkat negeri jika negeri berkenaan mengambil tindakan atau menerima pakai fatwa tersebut menerusi keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri masing-masing. Oleh itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hanya merupakan majlis diskusi bagi menentukan sesuatu keputusan itu melibatkan kepentingan seluruh persekutuan.



PERUNTUKAN MENGENAI FATWA DALAM UNDANG-UNDANG

Di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], peruntukan mengenai fatwa dijelaskan di bawah Seksyen 34 iaitu:

Maksud Fatwa iaitu pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubung dengan Hukum Syarak;

Mengenai bila sesuatu fatwa itu boleh dibuat, iaitu apabila diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, atau atas permintaan orang ramai melalui surat yang dihantar kepada Mufti, atau dibuat atas kehendak Mufti itu sendiri;

Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh Mufti hanya boleh diambil sebagai fatwa jika pernyataan itu disiarkan dalam warta berhubung dengan Hukum Syarak;

Sesuatu fatwa yang telah disiarkan dalam warta hendaklah dipatuhi oleh semua umat Islam yang berada di negeri itu, kecuali amalan peribadi yang dibenarkan mengikut Hukum Syarak; dan


Fatwa yang diwartakan merupakan sebahagian daripada undang-undang yang perlu diikuti oleh semua Mahkamah Syariah bagi negeri itu.

Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak - JAKIM

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:


Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.


Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.


Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Jumaat, 16 April 2010

APA MAKSUD TEKNOLOGI DNA ?



            Asid Deoksiribonukleik atau nama singkatannya DNA merupakan sebatian kimia yang kompleks iaitu karbon, hidrogen, oksigen dan fosforus yang ditemui di dalam nucleus setiap sel yang membawa maklumat yang diperlukan untuk perkembangan seseorang individu. Dengan kata lain DNA bermaksud proses mengenal pasti profil atau identity seseorang berdasarkan kaedah saintifik.
             
DNA terdiri daripada unit-unit nukleotida. Setiap unit nukleotida mengandungi tiga molekul asas iaitu gula deoksiribosa, bes bernitrogen  dan kumpulan fosfat yang terangkai bersama. Satu molekul DNA boleh mengandungi antara empat hingga limajuta unit nukleotida

Berdasarkan model  yang dicadangkan oleh James Watson dan Francis Crick (1953), struktur molekul DNA terdiri daripada dua baris nukleotida yang tersusun dalam bentuk heliks ganda dua dan diikat antara satu sama lain dengan sepasang bes bernitrogen. Struktur heliks ganda dua ini membolehkan DNA diperduakan semasa pembahagian sel. Penduaan ini memastikan setiap gen tidak berubah semasa pembahagian sel, dan sel zuriat adalah serupa. Jumlah DNA yang terkandung dalam satu kromosom adalah tetap.

Pada umumnya bahan-bahan yang boleh digunakan dalam analisis DNA adalah terhad kepada bahan-bahan biologi semulajadi. Berikut adalah senarai bahan-bahan biologi yang  mana DNA telah berjaya diasingkan dan dianalisis :

  1. Darah dan kesan darah                              
  2. Air mani dan kesan air mani
  3. Tisu                                                          
  4. Tulang dan organ
  5. Rambut / bulu yang mempunyai akar

Bahan-bahan biologi yang lain seperti air liur, air kencing, air mata dan peluh boleh juga dianalisis sekiranya mempunyai DNA yang mencukupi. Oleh kerana DNA adalah bahan biologi ia akan mudah terurai atau rosak jika sumber-sumber tersebut terdedah kepada haba, kelembapan dan bakteria.
  
KEPENTINGAN DNA

            Pemprofilan DNA adalah satu kaedah yang digunakan secara meluas dimakmal-makmal forensik diseluruh dunia. Ia digunakan bagi menentukan samada sesuatu bahan bukti biologi yang ditemui ditempat kejadian jenayah mempunyai hubungkait dengan suspek atau tidak. Kaedah mengenalpasti identiti ini juga dipergunakan kepada penentuan hubungan kekeluargaan, mengenalpasti status anak yang dicurigai dan kes-kes jenayah seperti rogol dan pembunuhan.   

KEBURUKAN DNA

1.      Manipulasi gen dalam bidang pertanian dan penternakan akan menghasilkan haiwan dan tumbuhan transgenik yang bermutu tinggi. Tetapi masalah sosial dan ekonomi akan timbul jika tidak ada pengawalan daripada pihak yang bertanggungjawab.

2.      Teknologi DNA akan akan memberikan kita pemahaman yang lebih mendalam tentang diri kita. Namun begitu akan ada pihak yang akan menyalahgunakan pemahaman ini yang boleh menimbulkan banyak isu moral yang kontroversi seperti percubaan untuk menentukan keadaan rupa bentuk fizikal dan mental seseorang manusia.

3.      Negara yang maju akan  menggunakan kemajuan teknologi ini untuk meningkatkan mutu populasinya, seterusnya akan menggunakan kelebihan ini untuk mengawal seterusnya menindas Negara-negara yang lemah.
  

GAYA DAN KONSEP KEPIMPINAN


Kepimpinan merupakan satu subjek yang menarik kepada semua golongan masyarakat. Kepimpinan memberi gambaran individu yang berkuasa dan dinamik, yang memerintah tentera atau mengarah empayar korporat. Sejarah manusia penuh dengan pemimpin tentera, politik, agama dan sosial. Perjuangan pemimpin yang berani dan bijaksana menjadi intipati legenda dan mitos.

Kepimpinan ialah perkataan terbitan daripada “pimpin”. Pimpin bererti bimbing, pandu atau tunjuk. Memimpin diberi erti sebagai memegang tangan dan membawa berjalan menuju ke sesuatu tempat. Kepimpinan membawa erti “keupayaaan memimpin” dan kepemimpinan pula “keupayaan sebagai pemimpin, daya seseorang pemimpin” (Kamus Dewan 1994).

Kepimpinan ialah tingkah laku yang mempunyai keupayaan mengubah haluan sesuatu organisasi. Kepimpinan perlu memilih kriteria-kriteria tertentu dalam usaha mencapai objektif organisasi. Mereka boleh memantau orang bawahan agar mengikut criteria yang dipilih untuk tujuan pembangunan dan kejayaan di samping dapat mempertahankan corak kerja berpasukan yang erat (Cartwright dan Zender 1960) dan (Halpin 1960).

Menurut Stodgill (1974), kepimpinan adalah satu konsep yang sukar dan kompleks.Kepimpinan wujud dalam apa jua aktiviti yang disusun secara rapi dan sistematik. Kepimpinan juga berkait secara langsung dan tidak langsung dengan keseluruhan aktiviti dalam organisasi. Kepimpinan mempunyai perkaitan rapat dengan kuasa. Setiap ketua perlu memiliki perancangan sendiri yang mantap. Kepimpinan mengandungi tugas-tugas serta fungsi bagi:

a. menetapkan matlamat

b. menyusun

c. mengarah dan menyelaras

d. mengawal bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

Justeru, kepimpinan merupakan satu proses mempengaruhi orang bawahan dan merupakan satu proses yang berterusan. Setiap keadaan memerlukan corak atau gelagat kepimpinan yang sesuai untuk sesuatu keadaan. Oleh itu kepimpinan ialah fungsi yang bersifat khusus. Pemimpin seharusnya berkeupayaan untuk memujuk agar dapat mendorong orang bawahan bekerja ke arah pencapaian matlamat organisasi. Kepimpinan yang berkesan dapat memberi kepuasan kepada pengikut dan keadaan ini akan menghasilkan prestasi kerja yang cemerlang. Pekerja akan bekerja bersungguh-sungguh sehingga objektif organisasi tercapai. Tekanan dan hukuman hanya dapat meningkatkan produktiviti dalam jangkamasa yang pendek, tetapi dalam jangka masa panjang pekerja akan menimbulkan reaksi negatif dan melahirkan rasa tidak puas hati dan bersikap menentang. Mengadakan perbincangan dan membuka peluang kepada subordinate untuk mengemukakan idea-idea baru kepada sesuatu perancangan yang dibuat merupakan langkah yang baik bagi pemimpin untuk meningkatkan kepuasan kerja. Pengikut atau orang bawahan akan lebih terdorong untuk bekerja kuat dan berdedikasi.

Gaya kepimpinan merupakan cara seseorang pemimpin menggunakan kuasa yang dimiliki sebagai alat untuk mempengaruhi pekerja supaya bekerja kuat untuk mencapai objektif organisasi. Pada dasarnya stail kepimpinan dapat dibahagikan kepada empat jenis seperti yang dijelaskan oleh Blake & Mouton (1964) iaitu:


A) Kepimpinan Autokratik

Seseorang pemimpin yang autokratik adalah mementingkan pelaksanaan tugas. Dia memimpin dengan menggunakan sumber kuasa formal. Pemimpin yang mengamalkan stail ini akan membuat keputusan yang berkaitan dengan tugas, mengeluarkan arahan dan memastikan arahan itu dipatuhi. Contoh kepimipnan seperti ini boleh dilihat di dalam industri.


B) Kepimpinan Berperikemanusiaan

Kepimpinan yang berperikemanusiaan menunjukkan minat yang lebih terhadap kakitangannya. Dia mementingkan suasana kerja yang baik, dipupuk melalui jalinan persahabatan yang mesra di kalangan semua kakitangan. Konflik cuba dihindarkan dengan menganjurkan permuafakatan.

C) Kepimpinan Demokrasi

Stail kepimpinan demokratik dikenali juga sebagai pemimpin yang mengalakkan kesemua kakitangannya melibatkan diri dalam organisasinya. Peluang diberi kepada setiap ahli organisasi untuk memberikan pendapat atau pandangan sebelum sesuatu keputusan diambil.
D) Kepimpinan Laissez-Faire (kebebasan)
Pemimpin yang mengamalkan stail kepimpinan laissez-faire, tidak begitu berminat dengan urusan yang diamanahkan kepadanya. Beliau biasanya tidak peduli mengenai kerja mahupun hasilnya. Kuasa yang ada padanya tidak

digunakan. Pemimpin jenis ini akan membiarkan semua keputusan dibuat oleh orang bawahannya.
Gaya kepimpinan yang agung sekali ialah seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. yang diakui oleh seluruh umat sama ada Islam atau bukan Islam. Seorang ahli sejarah dan astronomi bernama Michael Hart telah menulis bahawa orang yang sangat berpengaruh di antara jutaan orang yang lahir iaitu Muhammad pemimpin Islam; sebab dialah satu-satunya orang dalam sejarah yang berjaya gilang-gemilang dalam dua bidang sekali gus, iaitu kehidupan agama dan melaksanakan pengurusan umat di dunia (Newsweek 1978).

Pengikut menyumbang kuasa yang besar kepada pemimpin mereka dan kepimpinan dikaitkan dengan kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi.

Drucker (1985) berpendapat kejayaan sesebuah organisasi adalah tanggungjawab eksekutif. Bagi organisasi seperti universiti, kejayaannya adalah tanggungjawab Kumpulan Pengurusan. Mereka bertanggungjawab terhadap prestasi sendiri, pekerja, hasil serta kualiti perkhidmatan.

Edmond (1978) berpendapat “principals can make a difference”, yang membawa maksud bahawa sesebuah organisasi boleh dimajukan dan kemajuannya berpunca daripada kepimpinan pihak pengurusan. Keupayaan memupuk kerjasama antara pengurusan dan pekerja di dalam pelbagai aktiviti organisasi merupakan prasyarat penting kepada kepimpinan berkesan.

Penyelidikan yang dibuat oleh pakar-pakar pengurusan menyatakan ciri-ciri yang lazim ada pada kepimpinan yang berkesan ialah :

i. Semangat – mereka mempunyai cita-cita, ketabahan, ketekunan,tekad, daya usaha, tenaga dan hasrat untuk berjaya.

ii. Kejujuran dan integriti- mereka mempunyai sikap terbuka,boleh dipercayai, jujur dan boleh diharapkan.

iii. Dorongan kepimpinan- mereka mempunyai hasrat yang tinggimahu mempengaruhi individu lain supaya menyokong usahamencapai tujuan dan matlamat yang sudah ditetapkan oleh pemimpin.

iv. Keyakinan diri- mereka sangat percaya pada keupayaan diri sendiri.

v. Kepintaran- mereka berupaya menggabungkan dan mentafsirkan maklumat-maklumat yang banyak. Kajian mendapati otak yang sangat pintar belum tentu boleh membuatkan seseorang itu menjadi pemimpin yang berjaya malah adakalanya menimbulkan kesan negatif pula.

vi. Pengetahuan dalam bidang- mereka mempunyai ilmu dan kepakaran yang cukup dalam bidang yang dipimpin.

vii. Kreativiti- mereka berupaya mencipta idea-idea baru yang berguna.

viii. Fleksibiliti- mereka berupaya menyesuaikan diri kepada keperluan individu yang mereka pimpin dengan keperluan situasi dan masa.

Kesimpulan

Daripada perbincangan di atas perlu saya tegaskan bahawa kepimpinan adalah proses dimana seseorang individu itu mempengaruhi anggota-anggota lain didalam kumpulannya ke arah mencapai tujuan dan matlamat kumpulan itu. Dalam erti kata yang lain, kepimpinan ialah proses yang sangat berkaitan dengan pengaruh dimana seseorang itu berjaya mempengaruhi mereka yang dipimpin supaya mengubah sikap dan tingkah laku mereka.

Tegasnya, pemimpin memimpin dan dipimpin. Kepimpinan ialah tenaga penting di sebalik kejayaan organisasi dan organisasi tidak boleh mencapai kejayaan tanpa kepimpinan yang berkesan.